JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia mengundang kecaman orang ramai kerana dilamar kekasihnya ketika mereka menunaikan umrah secara bersama di kota suci Mekah, lapor portal berita Abatanews semalam.
Rakaman detik ‘istimewa’ itu dimuat naik di platform X oleh akaun @kegblgnunfaedh kelmarin.
Menerusi video berkenaan, wanita itu kelihatan dilamar oleh seorang lelaki berpakaian ihram di hadapan Kaabah.
Lebih mengejutkan, mereka tegar berpegangan tangan dan berpelukan seperti pasangan suami isteri baru berkahwin.
Rakaman itu mencatatkan 2.5 juta tontonan dan menimbulkan kekecohan di ruangan komen.
“Bukan malaikat sahaja yang keliru, setan pun keliru,” sindir seorang netizen.
“Di tempat suci pun sempat bermaksiat,” sindir netizen lain. – AGENSI