PETALING JAYA – Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nasuruddin Daud dilaporkan memandu sendiri bot dalam misi mengagih bantuan kepada rakyat negeri tersebut yang terkesan banjir ketika ini.
Melalui satu klip video yang tular di laman sosial, Mohd. Nasuruddin dilihat mengemudi sendir bot dalam keadaan air banjir yang naik di satu kawasan bagi mengagihkan sendiri bantuan kepada rakyat Kelantan.
“Dialah driver, dialah ketua, dialah imam, dialah Menteri Besar Kelantan Datuk Panglima Perang Datuk Mohd Nasuruddin Daud,” tulis video tersebut.
Ketika ini , Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 65,867 mangsa daripada hampir 90,000 mangsa di sembilan negeri seluruh negara.
Menurut data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 550 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negara dengan melibatkan 27,074 keluarga.
Mengikut pecahan mangsa, golongan lelaki dewasa adalah 28,581 bersamaan 32.58 peratus, wanita dewasa 30,395 (34.6 peratus), kanak-kanak lelaki 13,456 (15.3 peratus) manakala kanak-kanak perempuan 12,819 (14.6 peratus).
Ketika ini, 10 negeri terlibat, selain Kelantan adalah Terengganu menjadi negeri kedua bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 16, 702 mangsa, Negeri Sembilan (1,487), Kedah (2,782), Selangor (312), Perlis (425), Melaka (72), Perak (48) serta Johor. – KOSMO! ONLINE