LIVERPOOL – Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui mula pening kepala melihat prestasi penyerang utama, Kylian Mbappe yang semakin ‘lemau’ ketika pasukan tewas 0-2 kepada Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Anfield itu, skuad The Galacticos dihadiahkan sepakan penalti ketika ketinggalan 0-1, tetapi gagal disempurnakan oleh Mbappe dengan percubaannya diselamatkan oleh penjaga gol, Caoimhín Kelleher.
Menurut Ancelotti, penyerang antarabangsa Perancis itu kini menghadapi krisis keyakinan diri selepas hanya menjaringkan dua gol pada sembilan perlawanan terakhir dan ini adalah normal dalam kalangan penyerang.
“Saya akui Mbappe kini tidak berada pada tahap terbaik dan apa yang dialaminya sentiasa berlaku pada mana-mana penyerang di seluruh dunia. Ada masanya, mereka akan buntu untuk menjaringkan gol.
“Namun, setiap masalah ada penawarnya dan buat masa ini, kita hanya mampu bersabar dan semua pemain serta barisan kejurulatihan berdiri teguh di belakang Mbappe. Cuma, dia perlu bekerja lebih keras,” katanya.
Sementara itu, Ancelotti mengakui The Reds layak untuk menang dan meraih tiga mata penuh kerana berjaya mendominasi sepenuhnya perlawanan dan mencipta banyak peluang.
“Saya rasa ini adalah keputusan yang adil. Kita tidak bermain dengan baik manakala Liverpool pula berada dalam prestasi luar biasa ketika ini dan berhak untuk menang,” katanya. – AGENSI