BIRMINGHAM – Pengurus Aston Villa, Unai Emery menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan kontroversi membatalkan gol kemenangan pasukannya ketika seri tanpa jaringan menentang Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara, di Villa Park pada Rabu.
Gol masa kecederaan yang dijaringkan Morgan Rogers dilihat mampu menghadiahkan kemenangan dramatik buat Villa, namun pengadil Jesus Gil Manzano menganggap Diego Carlos melakukan kekasaran terhadap penjaga gol Juventus, Michele Di Gregorio.
Keputusan yang dibuat tanpa merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR) mencetuskan persoalan apabila ulang tayang menunjukkan hanya sentuhan ‘ringan’ berlaku menyebabkan Emery mengkritik keputusan itu selain menggesa pengadilan yang lebih seragam di pentas Eropah.
“Di England, 80 peratus insiden seperti itu akan diberikan gol, tetapi di Eropah ia dianggap sebagai kekasaran. Ini menunjukkan perbezaan dalam tafsiran peraturan.
“Kita perlu mencari keseragaman dalam membuat keputusan seperti ini. Di Liga Perdana Inggeris, pendekatan terhadap insiden seperti ini lebih bebas, tetapi di Eropah, ia berbeza. Kita harus menerimanya, walaupun ia mengecewakan,” ujar Emery.
Emery juga mempersoalkan ketiadaan VAR dalam situasi tersebut yang boleh membantu memberikan keputusan lebih tepat.
“Pada awalnya, saya fikir pengadil memberikan gol. Tetapi dalam situasi seperti ini, keputusan berubah dengan cepat tanpa pengesahan teknologi. Ia agak mengelirukan,” katanya lagi. – AGENSI