PETALING JAYA – Menzahirkan rasa simpati, pelakon popular Nora Danish berharap mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas diberikan kekuatan menghadapi ujian daripada Allah SWT.
Nora atau nama penuhnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 41, berkata, setiap individu yang terjejas akibat bencana banjir juga perlu sentiasa percaya dengan aturan Tuhan dan tidak berhenti untuk bergantung harap pada-Nya.
“Semoga saudara-saudara kita yang terkesan dengan banjir ini, diberi kekuatan untuk menerima takdir dengan jiwa tenang.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang dipikul.
“Kami sentiasa ada di sini untuk anda. Jangan hilang harapan, Allah ada,” katanya dalam Instagram Story hari ini.
Menerusi perkongsian sama, dia turut mengulang siar doa mohon keselamatan untuk diamalkan bersama pengikut Instagramnya.
Setakat ini, jumlah penduduk terjejas akibat banjir yang melanda tujuh negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Perak dan Selangor terus meningkat kepada 85,000 mangsa daripada 26,375 keluarga setakat pagi tadi.
Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan kekal sebagai negeri tertinggi merekodkan jumlah mangsa banjir mencecah 64,000 orang membabitkan 20,000 keluarga di 235 PPS sekitar 10 daerah. – KOSMO! ONLINE