ISKANDAR PUTERI – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditahan polis kerana dipercayai membaling bom petrol mengakibatkan sebuah kereta terbakar di Taman Damai Jaya, Skudai dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, remaja berkenaan membuat perbuatan itu selepas menerima upah daripada sindiket along.
Menurut beliau, polis turut merampas dua notis ugutan yang turut tertera nombor telefon Singapura selepas menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 39 tahun, memaklumkan kereta yang diparkir dalam pagar rumahnya terbakar.
“Berdasarkan laporan dan siasatan dijalankan, polis telah menahan suspek terbabit pada pukul 5.30 pagi. Turut dirampas dua botol kaca serta satu tong petrol manakala suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 2 Disember depan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE