SEREMBAN – Pusat Rekreasi Ulu Bendul di Kuala Pilah ditutup sementara kepada pengunjung, susulan kes leptospirosis atau kencing tikus yang dilaporkan berpunca dari kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS), Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata, penutupan lebih dua minggu itu berkuat kuasa hari ini sehingga 15 Disember bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan dijalankan.
Menurutnya, pada 19 November lalu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban telah menerima tiga notifikasi kes disyaki leptospirosis dari Klinik Kesihatan Sendayan yang melibatkan sebuah keluarga dari daerah tersebut dengan gejala demam, muntah, dan cirit-birit.
“Keluarga tersebut mempunyai sejarah mengunjungi sebuah pusat rekreasi di Ulu Bendul, Kuala Pilah pada 10 November lalu. PKD Seremban turut menerima pertambahan lima notifikasi kes dengan gejala yang serupa dengan sejarah perjalanan ke pusat rekreasi sama di antara 10 November hingga 16 November lalu.
“Jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak lapan kes, yang mana satu kes telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut, manakala tujuh kes lagi telah diberikan rawatan pesakit luar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE