GOPENG – Seorang pemandu bas ekspres lelaki nekad melarikan diri meninggalkan kenderaan itu bersama 11 orang penumpang semasa pemeriksaan Operasi Bersepadu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng di sini, malam tadi.
Pengarah MKN Perak, Mohd Zawawi Zakaria berkata, pemandu itu bertindak sedemikian kerana berada di bawah pengaruh bahan terlarang dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan polis.
“Bas itu bergerak masuk ke kawasan pemeriksaan sekitar jam 10.30 malam. Suspek kemudiannya parkir kenderaannya di tepi dan terus meloloskan diri.
“Pemeriksaan dijalankan oleh pihak berkuasa kemudiannya membawa kepada penemuan alat yang digunakan bagi tujuan penyalahgunaan dadah di bahagian pemandu bas. Siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa bagi mengesan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Katanya lagi, operasi yang menumpukan kenderaan perdagangan itu bermula pada pukul 8.30 malam dan tamat pada pukul 12 tengah malam hari ini yang melibatkan 31 pegawai dan 113 anggota.
“Sebanyak 155 buah kenderaan, 86 pemeriksaan imigresen, lapan pemeriksaan kes Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah dilakukan. Sejumlah 61 saman dan tujuh notis kesalahan trafik telah dikeluarkan. – KOSMO! ONLINE