TAPAH – Tindakan seorang pemandu melanggar sebuah kereta Perodua Axia di Taman Sungkai Perdana, Sungkai di sini pada 1.28 petang, Isnin lalu mengundang padah apabila ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd. Naim Asmawi berkata, insiden itu melibatkan seorang mangsa iaitu pemandu wanita kereta Perodua Axia manakala suspek seorang pemandu lelaki berusia 47 tahun yang memandu kereta Perodua Aruz.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa memandu dari kediamannya menuju ke sebuah premis untuk membeli makanan di sekitar Taman Sungai Perdana, Sungkai.
“Secara tiba-tiba, sebuah kereta Perodua Aruz yang dipandu suspek masuk ke laluan mangsa dan terus melanggar bahagian depan Perodua Axia,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, suspek ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE