PETALING JAYA – Management and Science University (MSU) melalui Yayasan MSU (YM) menyokong usaha Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan akses pendidikan berkualiti dapat diberi kepada semua murid tanpa mengira latar belakang atau lokaliti.
MSU dalam satu kenyataan berkata, sokongan tersebut dilakukan dengan melaksanakan majlis penyerahan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang berpotensi khususnya dari kategori B40 untuk menyambung pengajian ke universiti tersebut.
“Bantuan biasiswa YM 2024/2025 kali ini melibatkan nilai RM50 juta serta bakal diserahkan dan diagihkan kepada wakil-wakil dari 131 buah institusi pendidikan dari seluruh negara merangkumi 119 buah sekolah menengah, sembilan kolej vokasional dan tiga kolej tingkatan 6.
“Penganjuran program ini merupakan komitmen berterusan MSU dalam memperkasakan permuafakatan pendidikan bersama KPM khususnya institusi pendidikan di pelbagai peringkat dengan matlamat untuk melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan beraspirasi,” jelas kenyataan tersebut.
Turut hadir adalah Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid, Naib Presiden Endowmen dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof, pengurusan kanan MSU dan wakil-wakil institusi pendidikan.
Tambah kenyataan itu, penubuhan Yayasan MSU melalui peranannya dalam memberikan akses pendidikan kepada semua melalui penajaan biasiswa dan bantuan kewangan telah dimanfaatkan oleh pelajar berpotensi khusus menerusi education pathway yang ditawarkan di MSU sama ada memilih bidang akademik atau aliran TVET.
“Yayasan MSU menyediakan beberapa kategori penajaan biasiswa khusus untuk pelajar MSU seperti President Scholarship, MSU Outstanding Rewards Scholarship (MORE), Scholarship Reward for Excellence (SCORE), Scholarship for Mobility and International Experiences (SMILE), Joint Scholarships Bersama pihak-pihak swasta, Fellowship dan Skim SLAB,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE.