PENGALAMAN mengajar kanak-kanak di rumahnya ketika sedang menghabiskan pengajian peringkat sarjana menjadi titik tolak kepada kejayaan wanita itu hari ini.
Membuka bicara bersama Aura, Wan Izatul Saadiah Wan Kamar berkata, sebelum membuka perniagaan berasaskan perkhidmatan pembelajaran, Pusat Tuisyen Pakar Ilmu pada 2017 di rumahnya, dia terlebih dahulu bekerja mencari pengalaman.
Wanita yang mesra disapa Wan Izatul itu berkata, dia sebelum itu pernah mengajar di beberapa pusat tuisyen milik orang lain, selain di sekolah swasta secara sambilan.
“Saya memulakan khidmat tuisyen sendiri ketika sedang menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM).
“Ketika sedang dalam penulisan tesis, ada jiran-jiran terdekat minta ajar anak mereka tuisyen. Disebabkan sudah ada pengalaman sebelum ini, saya terima sahaja tawaran tersebut dengan niat untuk membantu,” katanya.
Jelas anak jati Kelantan berusia 37 tahun itu, lama-kelamaan ramai pula yang berminat sehingga semua bilik di rumahnya terpaksa dijadikan kelas.
“Saya masih ingat, ketika itu suami mencadangkan saya buka sahaja pusat tuisyen untuk perancangan masa panjang. Ini memandangkan saya sendiri memang suka mengajar.
“Sebelum buka pusat tuisyen, saya pernah bekerja sebagai guru di sekolah swasta dan rumah anak yatim, Puteri Harapan di Pengkalan Chepa, Kelantan.
“Sebelum itu, saya juga pernah jadi jurutera selama beberapa tahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat sarjana,” ujarnya.
Bercerita lanjut, atas penerimaan dan sambutan baik, dia kemudian membuka Tadika Al Azhar Bestari serta Akademi Pakar Ilmu pada tahun 2022 selepas pandemik Covid-19 mula beransur baik.
“Alhamdulillah, dari segi pencapaian ketika ini, jumlah pelajar yang sudah dibantu sejak penubuhan Pusat Tuisyen Pakar Ilmu adalah seramai 1,000 orang di seluruh negara melibatkan tiga cawangan.
“Ramai antara pelajar kami yang merupakan pelajar cemerlang di sekolah mereka.
“Kami komited mengadakan program percuma bagi pengukuhan asas pelajar seperti Program Gempur Sifir dan Zero to Hero in English bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris,” katanya.
Berkongsi cabaran sepanjang tujuh tahun menguruskan pusat pembelajaran sendiri, ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui, banyak rintangan dalam arena perniagaan tersebut.
“Antaranya adalah dari segi kewangan kerana ketika awal penubuhan, tidak ada peluang yang membolehkan saya membuat pinjaman dan pembiayaan perniagaan.
“Jadi, terpaksalah saya ‘survive’ dengan apa yang ada.
“Selain itu, cubaan ‘sailang’ atau caras perniagaan daripada beberapa pihak terdekat juga berlaku. Sailang di sini bermaksud ada pesaing cuba mencuri pelajar yang berdaftar dengan kami.
“Namun, semua masalah ini kita tempuh dengan reda dan yakin rezeki daripada Allah SWT, selagi mana kita berusaha buat yang terbaik,” katanya.
Berkongsi kelebihan pusat tuisyennya, anak ketiga daripada sembilan beradik itu memberitahu, salah satu keunikan pusat pembelajarannya ialah kelasnya cukup diminati para pelajar dengan kehadiran memberangsangkan setiap hari.
“Pada masa sama, perbincangan turut dilakukan sekiranya terdapat sebarang masalah daripada pihak ibu bapa. Ini kerana, saya sebagai pemilik sentiasa memantau kumpulan WhatsApp dan perjalanan kelas.
“Setakat hari ini, tiada lagi mana-mana keluarga yang marah atau tidak puas hati apabila kami berbincang mengenai masalah anak mereka.
“Kami juga komited dan sentiasa memantau kebolehan pelajar dalam kelas dari masa ke masa,” ujarnya.
Mengenai perancangan masa panjang, Wan Izatul optimis untuk membuka sekurang-kurangnya lima cawangan baharu di lokasi yang telah dikenal pasti.
Harapannya, menerusi pembukaan cawangan itu nanti, dia dapat membantu menyokong sektor pendidikan swasta penduduk setempat dengan lebih baik.