KLANG – Seorang lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melindungi sembilan rakan senegaranya termasuk bayi perempuan berusia setahun pada bulan lalu.
Tertuduh, Ann Saputera, 25, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.
Ann didakwa telah melindungi sembilan migran berusia setahun hingga 54 tahun yang merupakan migran diseludup dalam sebuah rumah di Taman Seri Mewah di sini, kira-kira pukul 4.30 petang, 18 Oktober lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Timbalan Pendakwa Raya Anisah Pisol mencadangkan tiada sebarang jaminan diberikan selain kesalahan di bawah Akta Keselamatan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim kemudiannya membenarkan cadangkan pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan 6 Januari depan. – KOSMO! ONLINE