fbpx

Lebih 500 anggota Pantas PBT Selangor dibekukan cuti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Cuti lebih 500 anggota  di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor dibekukan sehingga Januari tahun depan bagi menghadapi sebarang bencana susulan Monsun Timur Laut (MTL).

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, ini bagi memastikan kesiapsiagaan untuk dihantar ke lokasi hot spot seterusnya dalam memberikan khidmat sebaik mungkin kepada masyarakat.

“Semua dah sedia maklum dan kita tidak benarkan mereka ambil cuti ketika tempoh ini.

“Sekarang Jabatan Metrologi sudah beri maklumat awal hujan sehingga esok . Di Pantai Timur air sudah naik dan di Selangor pula hujan walaupun tidak kuat, namun ada banjir kilat dan sebagainya.

“Justeru, sekiranya apa kejadian berlaku, mereka akan turun terus ke lokasi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Integriti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan seramai 312 mangsa daripada 77 buah keluarga di sekitar Klang telah ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir.

PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai menempatkan 286 mangsa, manakala Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Bukit Kapar melibatkan 26 mangsa.

Ketika ditanya sama ada jentera PBT Selangor akan digerakkan dalam misi bantuan ke negeri Pantai Timur, Suee Lim menjelaskan perkara itu sedang diteliti oleh kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, perkara itu kita serahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk buat keputusan itu.

“Ada keperluan kita akan cuba bantu sebab ini adalah bencana. Kita kena bantu membantu dan semangat itu kena ada,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI