fbpx

FFM33 penentuan karya terbaik bertaraf global 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi berkata, kerajaan sentiasa menyokong pembangunan industri kreatif dan budaya sebagai salah satu sektor ekonomi negara yang berimpak tinggi. 

MEMASUKI edisi ke-33 penganjuran, Festival Filem Malaysia (FFM33) bakal menyaksikan pertarungan 95 pencalonan layak bertanding, merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.

Mempertaruhkan 27 kategori, kesemua pemenang akan menerima wang tunai RM5,000 dan trofi manakala pemenang Anugerah Khas bakal membawa pulang RM10,000 dan trofi. 

Sementara itu, Anugerah Filem Terbaik pula akan memperoleh insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.

Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, kerajaan sentiasa menyokong pembangunan industri kreatif dan budaya sebagai salah satu sektor ekonomi negara yang berimpak tinggi. 

“Kita baru sahaja selesai dengan penganjuran Anugerah Seri Angkasa pada 26 Oktober lalu yang memberi pengiktirafan kepada industri kreatif penyiaran. Kini akan disusuli dengan FFM33 bagi industri filem pada 7 Disember ini.

“Sokongan padu kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) dalam penganjuran FFM edisi ke 33 tahun ini adalah bukti kepentingan festival filem sebagai pengiktirafan nasional dalam meraikan kecemerlangan filem, produksi dan bakat-bakat industri berkualiti tinggi,” katanya. 

MALAM kemuncak Festival Filem Malaysia ke-33 dijadualkan berlangsung pada 7 Disember ini di Kota Media, Angkasapuri. – SYAKIR RADIN

Mengetengahkan tema Evolusi Sinema Malaysia atau EMAS, festival filem kali ini bertepatan dengan aspirasi memacu industri perfileman bagi mewujudkan daya saing, berimpak tinggi dan bertaraf global. 

“Evolusi EMAS ini adalah tafsiran nilai ekonomi kreatif dan budaya berimpak tinggi bagi filem-filem beridentiti Malaysia. 

“Filem karya Malaysia terkenal dengan kekuatan nilai bahasa, budaya, cerita bangsa, landskapnya,” tambah Fahmi. 

Belanjawan 2025 juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM160 juta galakan kewangan dan percukaian sekali gus membuktikan kepentingan industri perfileman tempatan sebagai pelaburan strategik dan aset berimpak tinggi khususnya dalam penghasilan produk kreatif dan bakat negara bertaraf global.

Peruntukan tersebut merangkum RM65 juta pembiayaan Dana Kandungan Kreatif (DKK), RM40 juta dikhaskan di bawah Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI), RM25 juta Skim Dana Padanan MyCreative Ventures dan suntikan RM30 juta bagi pembangunan generasi pembikin muda. 

FFM33 turut memperkenalkan 57 program sisipan interaktif dalam tiga teras utama, iaitu Film Bizz, Pembudayaan Sinema dan Peningkatan Profesionalisme.

Malam Anugerah FFM33 bakal berlangsung pada 7 Disember ini pukul 9 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media dan boleh ditonton secara langsung menerusi saluran RTM TV2. 

Selain memberi pengiktirafan buat pemenang, penonton turut dihiburkan dengan persembahan barisan artis popular tanah air iaitu Dayang Nurfaizah, Aizat Amdan, Aisha Retno, Marsha Milan, Nikki Palikat, Amir Jahari, Haqiem Rusli, Jaclyn Victor dan Aina Abdul. 

Sementara itu gandingan selebriti sensasi Datuk AC Mizal dan Scha Al-Yahya sebagai hos anugerah FFM33. 

Antara karya yang bertanding ialah Memoir Seorang Guru, Duan Nago Bogho, Imaginur, Malbatt: Misi Bakara, Pagari Bulan, Pulau, Abang Adik dan Polis Evo 3. 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI