MANCHESTER – Kelab gergasi England, Manchester United mengesahkan mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak £10.4 juta (RM58.52 juta) sebagai kos untuk memecat bekas pengurus, Erik Ten Hag.
Pengurus dari Belanda itu dipecat kurang 24 jam selepas The Red Devils tewas 1-2 berdepan West Ham United pada Oktober lalu selepas beliau menandatangani kontrak baharu pada Julai lalu dengan tempoh perjanjian sehingga 2026.
Laporan kewangan terbaharu yang didedahkan oleh kelab itu menunjukkan mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tersebut sebagai pampasan memecat Ten Hag dan beberapa staff kejurulatihannya.
Dalam pada itu, kelab tersebut juga terpaksa mengeluarkan dana sebanyak £11 juta (RM61.86 juta) untuk mendapatkan khidmat pengendali baharu, Ruben Amorim dari Sporting Lisbon bersama pasukan kejurulatihannya.
Jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan itu memaksa pihak pengurusan United terpaksa meningkatkan harga tiket untuk ahli kelab kepada £66 (RM372) bagi setiap perlawanan dan menghapuskan ‘subsidi’ yang diberikan sebelum ini.
Perkembangan itu mengundang kemarahan ahli kelab dan para peminat United yang merancang untuk mengadakan protes di luar Old Trafford sebelum aksi menentang Everton pada Ahad ini.
Manchester United Supporters’ Trust (MUST) mengkritik keputusan yang dibuat oleh kelab itu dan menganggap ia bakal mengeruhkan hubungan dengan pemilik saham, INEOS yang diketuai oleh Sir Jim Ratcliffe.
“Kami sebagai peminat telah melakukan segala-galanya seperti yang diminta. Kami menghargai para pemain biarpun mereka mempamerkan aksi di bawah standard sebenar. Kami dipaksa membayar lebih kerana kesilapan kelab membuat keputusan,” demikian kenyataan dikeluarkan oleh MUST. – AGENSI