KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu terus melonjak kepada 20,911 orang daripada 5,916 keluarga di tujuh daerah di negeri ini.
Mereka yang terdiri daripada 5,916 keluarga kini berlindung di 232 pusat pemindahan sementara (PPS) di semua daerah di negeri ini kecuali Kuala Terengganu.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Besut mempunyai 9,338 mangsa daripada 2,481 keluarga di 96 PPS.
“Seramai 4,333 mangsa daripada 1,389 keluarga pula berada di 48 PPS di Hulu Terengganu. Sebanyak 45 PPS yang menempatkan 4,255 mangsa daripada 1,197 keluarga dibuka di Setiu,” katanya di sini, hari ini.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Kemaman mempunyai 1,534 mangsa daripada 451 keluarga di 19 PPS.
Tambah beliau, seramai 709 mangsa daripada 207 keluarga pula berada di 14 PPS di Dungun.
“Sebanyak sembilan PPS beroperasi di Marang dengan 668 mangsa daripada 173 keluarga masih berlindung di dalamnya.
“Kuala Nerus pula mempunyai 74 mangsa daripada 18 keluarga yang berada di PPS Dewan Wakaf Catur Batu Rakit,” katanya. – KOSMO! ONLINE