PETALING JAYA – Jumlah mangsa banjir di sembilan negeri di seluruh negara mencatatkan seramai 100,599 orang setakat pukul 8.30 malam tadi.
Menurut Info Bencana JKM, Kelantan mencatatkan 74,207 mangsa daripada 23,038 keluarga dipindahkan ke 267 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah.
Di Terengganu, seramai 19,618 mangsa daripada 5,654 keluarga ditempatkan di 272 PPS di lapan daerah yang terjejas.
Ia diikuti Kedah dengan 3,521 mangsa yang terjejas di lima daerah dan ditempatkan di 46 PPS, manakala Negeri Sembilan merekodkan 2,090 mangsa dipindahkan ke 23 PPS di empat daerah.
Dalam pada itu, negeri-negeri lain terlibat adalah Selangor (487 orang), Perlis (454), Melaka (105), Johor (97) dan Perak (20).
Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan keadaan hujan yang sangat lebat sehingga esok membabitkan beberapa kawasan sekitar Kelantan serta seluruh negeri Terengganu.
“Antara kawasan terlibat di Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap buruk pula dikeluarkan membabitkan negeri Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang), Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) berkuat kuasa sehingga esok.
“Bagi tahap waspada, ia tertumpu seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera) serta Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi),” jelasnya. -KOSMO! ONLINE