fbpx

‘Amah bukan patung permainan, kamu berdua bukan tiada pendidikan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KLANG – “Amah bukan patung permainan dan kesalahan dilakukan kamu bercanggah 180 darjah dengan uniform zahirnya di Bukit Aman.”

Demikian tegas Hakim Zulqarnain Hassan di Mahkamah Sesyen sebelum menjatuhi hukuman penjara 12 dan 10 tahun terhadap Inspektor S. Vijiyan Rao, 40,  dan isterinya, K. Rineshini Naidu, 37 selepas didapati bersalah atas pengekploitasian dan menyebabkan 102 kecederaan parah terhadap amah warga Indonesia.

Ini selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap kedua-dua tertuduh.

Pada prosiding itu, pasangan itu dijatuhi penjara 10 dan 12 tahun kerana ekploitasi kerja paksa. Vijayan juga dipenjara enam bulan dan denda RM25,000 selain tambahan empat bulan penjara sekiranya gagal membayarnya bagi kesalahan menggaji warga asing tanpa permit.

Rineshini turut dipenjara empat tahun bersama denda RM5,000 kerana menyebabkan kecederaan parah kepada amah itu, manakala jika gagal bayar akan dipenjara empat bulan.

Kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak, namun mahkamah membenarkan penangguhannya sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai sementara bagi bayaran denda pula perlu dilunaskan hari ini.

Pasangan tersebut juga diperintah masing-masing membayar pampasan sebanyak RM40,000 terus ke akaun bank mangsa dengan bayaran dipantau Timbalan Pendakwa Raya dan sekiranya gagal, boleh dipenjara enam bulan.

Hakim Zulqarnain dalam penghakimannya menegaskan mereka berdua bukan tiada pendidikan, malah Rineshini adalah perunding dengan pendapatan RM20,000 sebulan.

Jelasnya, Vijiyan pula adalah inspektor ditempatkan di bahagian elit iaitu Bahagian Operasi Khas (D8) Jabatan Siasatan Jenayah yang menyiasat kes profil tinggi terkait jenayah senjata api, penculikan, peras ugut dan sindiket perjudian di seluruh negara.

Tambahnya, kedua-dua tertuduh tidak membayar gaji mangsa selama tiga tahun dan selain mempunyai 102 kesan cedera.

“Ini termasuk 20 kecederaan terkini di kepala, leher (3), dada (5) dan masing-masing enam bagi kedua-dua tangan selain satu di bahagian belakang (badan). Justeru, jelas tiga tahun mangsa berada di negara ini adalah neraka kepadanya.

“Amah bukan patung mainan, bukan juga jualan murah. Amah punya perasaan, darah yang mengalir dan jantung berdenyut.

“(Perbuatan) mendera wanita oleh Rineshini pula bercanggah 180 darjah dengan kemuliaan sebagai ibu. Hukuman setimpal wajar dikenakan,” tegasnya.

Beliau menegaskan, Vijayan ada kepentingan terdesak untuk menyelamatkan diri sendiri apabila menghantar seorang kakitangan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hadir ke Hospital Selayang sebanyak empat kali bagi memujuk mangsa.

“Vijayan dapat bercakap mangsa menerusi telefon bimbit kakitangan IPD itu dengan menyatakan akan menghantar balik ke Indonesia.

“Namun cubaan untuk mengeluarkan mangsa berjaya digagalkan kakitangan hospital,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa eksploitasi kerja paksa dan menyebabkan kecederaan parah terhadap Zailis, 46.

Justeru, melakukan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13 (a) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau pemenjaraan tidak kurang daripada lima tahun, dan sebat.

Rineshini turut didakwa pertuduhan berasingan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa sama mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, sekiranya disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua terhadap Vijiyan pula, mengaji Zailis tanpa permit sah mengikut Seksyen 55b Akta Imegresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah 55b (1) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 12 bulan atau denda antara RM10, 000 hingga RM50, 000.

Kesemua perbuatan itu dilakukan pasangan suami isteri itu di rumah mereka di Taman Industri Bolton, Gombak antara 17 Disember 2021 hingga 30 Ogos 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul ‘Ain Abu Bakar sementara pasangan suami isteri tersebut diwakili Peguam A. Narainasami dan Kamarul Zaman Abdul Rahman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI