KUALA LUMPUR – Agrobank menawarkan pelan bantuan banjir bagi pelanggan sedia ada yang terkesan berikutan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.
Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pelan bantuan ini adalah tawaran moratorium sehingga enam bulan serta penggantian buku akaun dan kad debit secara percuma khusus untuk pelanggan yang layak.
Katanya, pelan ini ditawarkan kepada mereka yang terjejas akibat banjir di Terengganu dan Kelantan serta negeri-negeri lain.
“Kami memahami kesukaran pelanggan-pelanggan yang terkesan akibat banjir baru-baru ini. Agrobank proaktif dalam merangka pelan-pelan khusus untuk meringankan beban yang dihadapi mereka dan diharapkan bantuan pembayaran ini dapat memberikan sokongan yang diperlukan dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini.
“Saya dimaklumkan ada di antara pelanggan kami yang mengalami kerosakan pada harta benda, ladang dan kegiatan pertanian mereka.
“Kejadian ini secara tidak langsung memberi kesan kepada sumber pendapatan dan kelangsungan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ada juga pelanggan memerlukan penangguhan dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka untuk memulihkan semula perniagaan.
“Justeru, bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan bagi membina semula perniagaan masing-masing.
“Kami di Agrobank juga akan turut menghubungi para pelanggan kami bagi membantu mereka menghadapi situasi ini,” ujarnya.
Bagi maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, sila hubungi pusat perkhidmatan pelanggan Agrobank di 1300-88-2476 atau boleh memohon di www.agrobank.com.my atau berkunjung ke mana-mana cawangan Agrobank. – KOSMO! ONLINE.