PETALING JAYA – Lebat meraih tawaran lakonan di Indonesia, pelakon Anna Jobling tetap memilih dan tegas dengan pendirian apabila Jobling meletakkan syarat tertentu terhadap produksi tanah republik tersebut sebelum bersetujui menandatangani sebarang kontrak.
Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling, 24, tindakan tersebut bertitik tolak daripada kesedaran sendiri bahawa industri perfileman seberang lebih terbuka dan ‘berani’ berbanding di Malaysia.
“Saya akan beritahu apa syarat saya sebelum terima sebarang tawaran lakonan di sana.
“Saya juga akan nyatakan perkara yang boleh atau tidak sebagai pelakon seperti menolak pakai baju tertentu atau adegan keterlaluan.
“Kalau mereka boleh terima, saya akan bekerjasama tetapi kalau tidak, minta maaf saya terpaksa tolak,” katanya kepada Kosmo! Online selepas malam gala filem seram Indonesia lakonannya, Lembayung di sini, baru-baru ini.
Dalam masa sama, bintang Melur Untuk Firdaus bertegas tidak pernah terfikir untuk berhijrah atau menetap di Indonesia meskipun menerima banyak tawaran lakonan di sana.
Baginya, Malaysia tetap rumah pertama dan tidak akan sesekali melupakan asal usulnya.
‘Buat masa sekarang tiada kediaman tetap di sana. Saya cakap pada diri sendiri, itu doa dan itu memang satu gol untuk saya.
“Malaysia masih rumah pertama saya tetapi saya tidak menolak jika mempunyai perancangan untuk perkara tersebut.
“Buat masa sekarang, biarlah semua berjalan secara perlahan-lahan dan tak mahu pergi sana kemudian terus ‘bye Malaysia’.
“Kita kena ingat dari mana asal usul dan bagaimana susahnya untuk masuk dalam platform ini dulu. Jadi, saya perlu sayang tempat asal dan akan cuba bawa nama Malaysia dengan baik ketika berada di negara orang,” jelasnya.
Selain Anna, pelakon lain terlibat dalam Lembayung arahan aktor Baim Wong termasuklah Arya Saloka, Taskya Namya, Yasamin Jasem dan Oka Antara.
Ditayangkan sejak September lalu di Indonesia, filem tersebut akan menemui penonton di Malaysia bermula 5 Disember ini. – KOSMO! ONLINE