KAJANG – Seorang lelaki warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Bahagia 8, Taman Minang, Cheras di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, bekas pesara kerajaan berusia 74 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof berkata, siasatan mendapati semasa kejadian, mangsa yang memandu Proton Saga dalam perjalanan balik ke rumah.
“Ketika melalui Jalan Bahagia 8, kenderaan dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta yang diparkir di sebelah kanan jalan.
“Dalam usaha mengundurkan kenderaannya, pemandu tersebut sekali lagi hilang kawalan dan melanggar dua kereta sebelum melanggar pagar sebuah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nazron, warga emas terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan luaran mempunyai sejarah sakit jantung.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Nur Faezah di talian 012-3268496,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE