PETALING JAYA – Tong kosong dijadikan sebagai pelampung serta diikat pada katil menjadi ‘penyelamat’ kepada seorang warga emas yang terlantar sakit daripada terkena air banjir di rumahnya di Kampung Chapu, Telemong, Hulu Terengganu.
Menerusi perkongsian TikTok Telemong Sejahtera, warga emas tersebut yang juga pesara tentera terlantar baring di atas katil sewaktu rumahnya dimasuki banjir.
Difahamkan tindakan keluarganya mengikat tong kosong pada katil sebagai pelampung membolehkannya terapung sewaktu air memasuki rumah.
“Warga emas veteran askar dalam rumahnya. Air lebih kurang dua kaki. Sedia pelampung di katil,” menurut perkongsian tersebut.
Dalam pada itu, orang ramai mendoakan keselamatan dan kesejahteraan warga emas tersebut termasuk mereka yang terkesan banjir di Pantai Timur.
“Sedihnya ya Allah. Permudahkan segala urusan pak cik ini,” kata Nurhalieza Adnan.
”Ada orang sakit. Semoga air tu tak akan naik lagi,” ujar Hajatun Hasna.
“Ya Allah, wahai air kau keluarlah dari rumah ini dan permudah lah orang yang menjaganya. Selesakan lah pesakit ini dalam keadaannya begini,” doa Hamimah Imah. – KOSMO! ONLINE
@telemongsejahtera Warga emas veteran askar dlm rumahnya, air lebih kurang 2 kaki : Kg Chapu, Telemong, Hulu Terengganu 28 Nov 2024 #fyp #tiktok #viralvideo #banjir #huluterengganu #sakit #telemongsejahtera #saingkiteyblakey ♬ original sound – Shanshan skincare – Rekomendasi Skincare Murah