BESUT – Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas akibat terjatuh di kawasan sawah padi yang ditenggelami banjir di Kampung Pinang di sini hari ini sewaktu sedang memukat ikan.
Mayat Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, ditemui pasukan mencari dan penyelamat (SAR) di dalam sawah terbabit pada pukul 10.10 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut , Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pasukan SAR terdiri 31 anggota pelbagai agensi telah ditubuhkan sebaik menerima maklumat insiden menimpa Tuan Jusoh.
“Mayat mangsa berjaya dijumpai di dalam dasar sawah di lokasi dia dikatakan terjatuh. Pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Azrul Izzham berkata, mayat Tuan Jusoh telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE