ALOR GAJAH – Tahanan lelaki warga Indonesia yang meloloskan diri di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah pada Isnin lalu berjaya ditangkap semula di kawasan kebun durian dekat Taman Melaka Pindah di sini, lewat petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, suspek yang merupakan tahanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berusia 38 tahun itu ditahan pada pukul 6.10 petang menerusi Op Kesan yang dilancarkan sejak Isnin lalu.
“Semasa tangkapan di lakukan di dalam kebun durian, tahanan telah melarikan diri dan dikejar oleh anggota sebelum berlaku pergelutan sehingga menyebabkan dia mengalami bengkak di muka.
“Tahanan itu akhirnya berjaya diberkas pada pukul 6.10 petang dan pemeriksaan mendapati tangannya sudah tidak bergari,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, pihaknya bagaimanapun percaya suspek tidak mendapat bantuan individu lain selama tiga hari melarikan diri.
“Tahanan ini akan direman di Mahkamah Alor Gajah dan kes disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE