fbpx

Sektor pelancongan dijangka sumbang 15% KDNK 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roslan (depan, tengah) di Taklimat Media mengenai Tonggak Komuniti Sosio-Budaya sempena Persidangan ASEAN 2025.

KUALA LUMPUR – Sektor pelancongan dijangka memberikan sumbangan sekitar 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, dalam tempoh kepengerusian ASEAN 2025, Motac meletakkan sasaran yang lebih tinggi tahun hadapan dengan mengekalkan momentum keberhasilan kepada ekonomi negara melalui pelancongan dan penghasilan kraftangan.

“Kepengerusian ini dijangka dapat melonjakkan dan memperkenalkan kraftangan serta budaya yang ada pada setiap negeri-negeri di Malaysia.

“Pada persidangan itu nanti Motac juga akan mengadakan simposium kreatif ekonomi semasa Kepengerusian ASEAN 2025 yang mendapat kerjasama dengan United Kingdom,” katanya ketika sidang akhbar Taklimat Media mengenai Tonggak Komuniti Sosio-Budaya di Kompleks Kraftangan di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui simposium itu, ahli-ahli delegasi akan didedahkan dengan bagaimana kebudayaan dan kesenian boleh membawa keuntungan kepada masyarakat.

“Kita akan cuba kumpulkan sebanyak mana belia di negara Asean untuk mengambil peluang ini untuk berkongsi bersama pengalaman dan belajar daripada negara-negara anggota Asean bersama juga dengan United Kingdom.

“Dengan harapan kita juga dapat menjemput pakar-pakar dari segi kreatif ekonomi kerana bidang ini adalah perkara yang baru di rantau Asia,” ujarnya.

Selain itu katanya, Motac juga akan memastikan setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak untuk memanfaatkan kepengerusian ASEAN bagi memperkenalkan produk pelancongan serta kraftangan di negeri masing-masing.

“Motac juga giat melaksanakan pelbagai program terutamanya melibatkan mikro komuniti bagi mengenal pasti bantuan yang kita dapat berikan bagi usaha penghasilan kraftangan.

“Terdapat banyak hasil kraftangan di setiap negeri namun pemasarannya masih belum menggalakkan. Justeru, dengan pengerusian ASEAN ini diharapkan kita dapat berkongsi hasil-hasil kraftangan negara kita kepada negara lain sekali gus membawa produk kita ke pasaran antarabangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI