KUALA LUMPUR – Bukan mahu terlalu kelihatan eksklusif sebaliknya pilihan sendiri, pelakon Redza Rosli lebih gemar menjaga privasi kehidupan peribadinya daripada berkongsi dalam media sosial.
Ujar Redza atau nama sebenarnya, Ahmad Redza Rosli, 32, dia selesa menggunakan platform media sosialnya untuk kerjaya semata-mata malah tidak berasakan keperluan mendedahkan hal peribadi kepada umum.
“Secara jujurnya, saya tidak rasa diri ini eksklusif, cuma media sosial saya lebih kepada urusan kerja sahaja. Orang pun tahu saya jarang kongsi apa-apa selain itu.
“Saya tidak gemar berkongsi hal peribadi, lagipun tiada apa pun yang hendak dikongsi.
“Biarlah perkara peribadi saya menjadi simpanan sendiri, orang lain tidak perlu tahu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Berpasak pada prinsip itu, Redza yakin penggemarnya sangat memahami selain menganggap peminat hari ini lebih matang dan tetap memberikan sokongan walaupun tidak berkongsi kisah peribadi.
“Peminat sekarang semakin bijak dan terbuka. Mereka tetap menyokong walaupun saya jarang kongsi kisah peribadi.
“Pada saya semua itu tiada masalah pun, saya tahu mereka faham.
“Malah, ada yang sanggup datang dari jauh untuk acara melibatkan saya atau artis kegemaran mereka,” ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana episod ke-17 Di Hatiku Ada Kamu, di sini, semalam.
Menyentuh mengenai drama Di Hatiku Ada Kamu, Redza mengakui wujud rasa bimbang terhadap penerimaan penonton memandangkan bahagian pertama drama itu mendapat sambutan luar biasa.
Namun, dia bersyukur apabila wataknya sebagai Adif meninggalkan kesan sehingga ramai penonton membenci karakter tersebut.
“Watak Adif bukanlah jahat, tetapi terpaksa bersikap demikian kerana dendam.
“Apabila orang bercakap tentang lakonan itu, saya rasa perlu berusaha lebih baik lagi untuk bermain dengan emosi penonton,” jelasnya.
Drama arahan Azri Izhar itu turut menampilkan Hannah Delisha sebagai teraju utama dengan watak Rian Aulia.
Bahagian kedua Di Hatiku Ada Kamu kini sedang ditayangkan di platform penstriman Viu setiap Khamis hingga Sabtu. – KOSMO! ONLINE