JOHOR BAHRU – Dua remaja termasuk seorang yang masih dibawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan melakukan perbuatan khianat menggunakan api, bulan lalu.
Tertuduh, Chin Kah Ang, 20, dan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama telah melakukan perbuatan khianat menggunakan api dengan niat untuk membakar kereta Perodua Myvi milik Ho Kang Chun, 28, di Taman Bukit Indah, di sini pada pukul 2 pagi, 22 Oktober lalu.
Hakim Ahmad Kamal Arifin menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 kepada masing-masing tertuduh dengan seorang penjamin, manakala tarikh 30 Disember ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh sementara Kah Ang diwakili peguam K. Bharathi manakala remaja bawah umur diwakili P. Rajagunaseelan. – KOSMO! ONLINE