BESUT – Seorang peniaga sayur yang merupakan pemandu kenderaan pikap, Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan maut meragut nyawa tiga beranak di Kampung Sungai Lerek, Setiu pada Isnin lalu dihadapkan atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Maani Salleh, 24, yang berasal dari Kampung Pecah Batu, Marang juga menghadapi satu lagi pertuduhan positif dadah jenis Nimetazepam.
Dia membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md. Zukri.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Muhammad Maani didakwa memandu kenderaan jenis Toyota Hilux secara melulu sehingga menyebabkan kematian Kamarudin Ibrahim, 55, Maimunah Mat Isa, 54, dan Nur Ardiena, 30.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Kilometer 35, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Lerek, Setiu pada pukul 4.30 pagi, 25 November lalu. mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis Nimetazepam ke dalam badan di dalam tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu pada 25 November lalu.
Kosmo! Selasa lalu melaporkan melaporkan Kamarudin dan isterinya, Maimunah serta anak kedua mereka, Nur Ardiena maut selepas kereta Perodua Axia dinaiki dirempuh kenderaan pikap sewaktu perjalanan pulang ke rumah di Kota Bahru, Kelantan selepas meraikan majlis konvokesyen anak bongsu pasangan itu, Nur Azwa Shamimi di Putrajaya. – KOSMO! ONLINE