fbpx

‘Mungkin Diana akan jadi lebih baik daripada kita’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nora menegaskan sokongan orang sekeliling sangat penting bagi mereka yang ingin berhijrah ke arah kehidupan lebih baik.

PETALING JAYA – Bukan mudah untuk berubah, pelakon Nora Danish menegaskan sokongan orang sekeliling sangat penting bagi mereka yang ingin berhijrah ke arah kehidupan lebih baik.

Ujar Nora, atau nama penuhnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, dia pernah melalui fasa penghijrahan sama seperti yang dilalui rakan selebritinya, Diana Danielle sekali gus memahami situasi tersebut.

“Saya faham perasaan apabila berada dalam fasa untuk berubah. Ketika itu, saya seronok nak berkongsi tentang solat atau perkara baik yang saya lakukan.

“Sebab kita yang berada dalam fasa nak berubah ini memerlukan sokongan insan sekeliling.

“Jangan mempertikaikan perkara kecil dilakukan seseorang dalam usaha ke arah itu, sebaliknya perlu dihargai kerana mungkin keikhlasan itulah yang menjadi pemangkin untuk mereka menjadi lebih baik,” katanya kepada Kosmo! Online.

Justeru, pelakon filem Sayu Yang Syukur itu memberi sokongan jitu terhadap Diana yang kini fokus memperbaiki solatnya sebagai sebahagian daripada proses penghijrahan.

“Apa yang Diana lakukan itu betul, memperbetulkan solat adalah langkah paling penting kerana itu merupakan tiang agama.

“Dengan solat diperbaiki, kita bukan sahaja memahami ayat-ayat yang dibaca, tetapi juga sembahyang di awal waktu dan melakukannya dengan khusyuk.

“Itu semua akan membawa perubahan yang lebih baik. Mungkin suatu hari nanti, Diana akan menjadi lebih baik daripada kita. Saya sokong dia selain berharap orang ramai mendoakannya,” ujarnya.

Bercerita mengenai perubahan dirinya selepas berhijrah dan mula berhijab sejak Julai lalu, ibu tunggal kepada dua anak itu mengakui kini menjalani kehidupan dengan jiwa lebih tenang.

“Dulu kita rasa kehidupan kita okey, tetapi sebenarnya hati bercelaru. Kadang-kadang benda kecil seperti nak makan apa pun boleh jadi isu besar hingga bergaduh dengan anak-anak.

“Namun, selepas penghijrahan ini, saya lebih tenang. Kita mula melihat masalah sebagai ujian dan belajar untuk lebih bersyukur.

“Ketenangan hati itu penting untuk lalui kehidupan. Saya sendiri sentiasa berdoa agar diberikan jiwa yang tenang,” jelasnya.

Nora juga berasa bersyukur kerana dikelilingi ramai insan positif yang sentiasa menyokongnya untuk kekal istiqamah.

“Alhamdulillah, saya ada keluarga dan rakan-rakan yang baik. Mereka selalu bantu saya untuk terus berada di landasan betul,” tambahnya.

Nora kini menjadi inspirasi kepada peminatnya, membuktikan bahawa setiap insan mampu berubah ke arah lebih baik dengan usaha, doa, dan sokongan yang tidak berbelah bahagi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI