KUALA SELANGOR – Mayat seorang lelaki yang berseluar dalam ditemui di tepi pantai Kampung Parit 4, Sungai Burong, Tanjong Karang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu mengenai penemuan itu pukul 2.16 petang.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati mayat yang tidak dikenalpasti identiti itu dalam keadaan terlangkup di lokasi tersebut.
“Lelaki yang berkulit cerah itu didapati hanya berseluar dalam dan berbaju kelabu.
“Pemeriksaan pada tubuhnya tidak menemui butiran pengenalan diri dan tiada sebarang unsur jenayah berlaku,” katanya malam ini.
Tambah Azaharudin, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE