SEREMBAN – Seorang lelaki yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau dan bertindak agresif merempuh kenderaan polis ditembak mati dalam kejadian di Jalan Persiaran Seremban 2/1, di sini malam tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah melakukan rondaan pencegahan di daerah ini dan terserempak dengan kereta jenis Mercedes berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, ketika dalam cubaan memberhentikan kenderaan suspek, individu berusia 38 tahun bertindak agresif dan merempuh kenderaan pasukan polis.
“Turut kedengaran beberapa das tembakan dipercayai daripada kenderaan suspek. Untuk mempertahankan diri, pasukan polis telah melepaskan beberapa das tembakan dan telah berlakulah (kejadian) berbalas tembakan.
“Selepas keadaan kembali tenang, pasukan polis telah membuat pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut dan mendapati satu lelaki warga tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Polis telah memanggil bantuan dari Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban dan pasukan paramedik mengesahkan lelaki tersebut telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ujar Ahmad Dzaffir lagi, hasil pemeriksaan lanjut telah mendapati terdapat sepucuk pistol jenis Llama 9mm bersama dua anak peluru yang masih hidup di dalam kenderaan tersebut, selain suspek tidak mempunyai lesen senjata api serta satu rekod ‘wanted’ bersabit dengan kes di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir turut memaklumkan dalam kejadian tersebut, anggota polis terlibat tidak mengalami kecederaan, namun salah seorang daripada mereka alami serangan jantung dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ). – KOSMO! ONLINE