KUANTAN – Tindakan tegas kerajaan negeri memusnahkan 101 hektar kebun durian musang king di Batu Talam Raub tiga tahun lalu masih tidak menakutkan penceroboh tanah haram yang dikesan menceroboh tanah seluas 404 hektar di kawasan Sungai Perdak di Bentong.
Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata tanah kerajaan yang terletak di kawasan tersorok dan tersepit antara Hutan Simpan Kekal Lentang Tambahan dan bersempadanan dengan Negeri Sembilan itu didapati ditanam dengan pokok durian.
“Sebagai langkah tegas saya telah mengarahkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan UPNP telah melakukan serbuan ke kawasan terbabit hari ini dan menyita rumah pekerja serta peralatan yang ditemui.
“Malah saya juga mengarahkan agar pokok durian yang ditanam di atas tanah kerajaan itu dimusnahkan bagi memastikan aktiviti pencerobohan tidak terus berlaku,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di bawah Seksyen 426A(1)(c) Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Katanya, kerajaan Negeri memandang serius aktiviti pencerobohan tanah secara haram milik Kerajaan Negeri itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tanah dan mencemarkan integriti sumber alam negeri ini.
Jelas Wan Rosdy, aktiviti pencerobohan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga memberi impak buruk kepada alam sekitar dan komuniti setempat.
“Kerajaan Negeri akan memastikan semua tanah milik kerajaan dipelihara demi kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekita dan kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti penerokaan haram amatlah dihargai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE