fbpx

Kampung Batu Papan dipilih Kampung Angkat Madani pertama di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron (tengah) hadir ke Majlis Penyerahan Projek Program Kampung Angkat Madani di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan.

GUA MUSANG – Kampung Batu Papan di sini dipilih sebagai Kampung Angkat Madani pertama di Kelantan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam usaha untuk membangunkan infrastruktur dan meningkatkan taraf hidup kesejahteraan rakyat. 

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pemilihan Kampung Batu Papan di sini bertepatan dengan kriteria digariskan oleh kerajaan iaitu kampung yang mempunyai liputan kemudahan bawah 50 peratus atau mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap yang memerlukan perhatian khusus.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM2.5 juta telah disalurkan melalui KPN untuk pelaksanaan 18 projek program Kampung Angkat Madani di Kelantan.

“Sebanyak 18 kerja-kerja fizikal sudah dilaksanakan yang melibatkan kerja-kerja pemasangan lampu solar, pembaikan dewan, tabika, pembaikan ruang riadah termasuk sukan, naik taraf infrastruktur rekreasi dan sosial. 

“Program Kampung Angkat Madani ini memberi peluang kepada masyarakat desa untuk memperbaiki taraf hidup dan mengurangkan jurang ketidaksamaan antara bandar dan desa,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Program Kampung Angkat Madani di Kampung Batu Papan di sini hari ini.

Sebelum itu, Aaron melawat kawasan tapak projek termasuk dewan terbuka, balai raya, dewan futsal, tapak rekreasi permainan dan Gua Madu.

Selain itu, program keceriaan gotong-royong dan kenduri rakyat turut diadakan.

Aaron (tengah) melawat kemudahan di Kampung Batu Papan selepas Majlis Penyerahan Projek Program Kampung Angkat Madani di Kampung Batu Papan, Gua Musang di Kelantan.

Mengulas lanjut, Aaron memberitahu, secara program itu secara keseluruhannya memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan sosial, pembangunan kapasiti individu dan memperluas akses kepada peluang pembangunan yang lebih baik.

Menurutnya, beliau yakin dengan semangat kerjasama dan komitmen daripada semua pihak akan dapat mencapai visi untuk membangunkan kampung-kampung di seluruh negara ke arah masyarakat yang lebih sejahtera, maju dan berdaya saing.

“Kerajaan menerusi Belanjawan 2024 telah mempertingkatkan capaian kemudahan asas dan kemudahan masyarakat melalui pendekatan Whole of Government. 

“Sebanyak 42 buah kampung di seluruh negara terpilih sebagai Kampung Angkat Madani membabitkan peruntukan RM100 juta,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Bazlin Yusoff, 45 berkata,  sebelum ini Kampung Batu Papan kekurangan infrastruktur khususnya tempat rekreasi dan permainan.

Katanya, pihaknya juga gembira apabila Gua Madu yang terletak di kawasan kampung sudah dinaik taraf dan bakal menarik kedatangan pelancong luar ke kampung itu.

“Kerja-kerja pembaikan dan membina kawasan ‘glamping’ termasuk menaik taraf kedai makan telah dilakukan di Gua Madu.

“Penduduk Kampung Batu Papan akan mendapat limpahan ekonomi daripada projek serta kemudahan yang telah dinaik taraf,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI