Adakah boleh kita membaca al-Quran secara terbalik kerana ingin mengukuhkan hafalan al-Quran?
Jawapan: Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan Baginda SAW dan para sahabat sehingga hari kiamat. Allah SWT sentiasa memelihara keaslian al-Quran dalam pelbagai keadaan. Allah SWT juga memudahkan proses menghafaz al-Quran bagi hamba-hamba-Nya yang terpilih.
Justeru, usaha menghafaz al-Quran secara kalimah demi kalimah dan huruf demi huruf merupakan salah satu cara yang efektif dalam menjamin keaslian al-Quran.
Firman Allah SWT: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Surah al-Qamar :17)
Ayat di atas menghuraikan bahawa Allah SWT mudahkan untuk menghafaz al-Quran dan membantu sesiapa yang ingin menghafaznya. Tambahan pula, Allah SWT mudahkan bagi setiap orang muda, orang tua, orang kafir, orang beriman dan setiap orang yang dipertanggungjawabkan untuk menghafaz al-Quran.
Begitu juga Allah SWT mudahkan untuk bacaan dan hafazan al-Quran kerana hanya al-Quran yang dapat dibaca secara sempurna dan menyeluruh berbanding kitab-kitab Allah yang lain. Bahkan, Allah SWT mudahkan lafaz dan makna bagi sesiapa yang ingin menghafaz al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran bagi manusia.
Sehubungan itu, mengukuhkan hafazan al-Quran sangatlah penting. Adapun membaca al-Quran secara urutan terbalik (reverse) bagi tujuan mengukuhkan hafazan boleh dibahagikan kepada tiga kategori:
1. Urutan terbalik pada surah selepas bacaan surah al-Fatihah ketika solat
Bagi kategori pertama, membaca surah secara urutan terbalik selepas bacaan surah al-Fatihah berlaku ketika saidina Umar RA mengimamkan solat subuh dengan membaca surah al-Kahfi iaitu urutan surah yang ke-16 pada rakaat pertama dan surah Yusuf iaitu urutan surah yang ke-13 pada rakaat yang kedua. Hal yang demikian merupakan suatu yang dibolehkan bagi membaca satu surah pada rakaat kedua iaitu surah yang urutannya adalah sebelum daripada urutan surah dibaca pada rakaat pertama. Ia hanya makruh dalam membaca kedua-dua surah tersebut dalam satu rakaat.
Bertitik tolak daripada hal ini menurut mazhab Syafi‘i, membaca surah secara urutan terbalik selepas bacaan surah al-Fatihah ketika solat adalah menyalahi amalan yang lebih afdal atau dalam istilah lain dinamakan sebagai khilaf al-aula, dan perbuatan ini tidak jatuh haram.
Bagaimanapun, terdapat pengecualian dalam proses pembelajaran yang baik bagi kanak-kanak dengan memulakan bacaan pada surah al-Nas berbanding surah al-Baqarah. Hal ini merupakan urusan yang tidak termasuk dalam larangan yang disebutkan di atas. Bacaan terbalik tersebut adalah bacaan yang berbeza-beza dalam pelbagai hari dan ia lebih mudah untuk mereka menghafaznya.
2. Urutan ayat yang terbalik dalam surah yang sama
Bagi kategori kedua, membaca surah bermula dengan ayat yang terakhir hingga ayat pertama adalah dilarang sama sekali. Ulama salaf juga melarang berbuat demikian dan perbuatan tersebut adalah haram di sisi mazhab Syafi‘i. Ini kerana ia akan menghilangkan pelbagai keistimewaan dan hikmah dalam susunan ayat al-Quran.
Hal ini menunjukkan bahawa tiada khilaf dalam pandangan ulama berkenaan urutan ayat dalam satu surah merupakan susunan yang tauqifi iaitu susunan yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW. Ia bukannya ijtihad daripada Nabi SAW mahupun sahabat RA sebagaimana yang ada dalam al-Quran sekarang. Tambahan pula dengan susunan seperti inilah umat Islam menerima al-Quran daripada Baginda SAW.
3. Urutan terbalik pada perkataan
Bagi kategori ketiga, membaca al-Quran secara terbalik pada perkataan adalah haram. Menterbalikkan perkataan akan mengubah isi kandungan al-Quran. Ia mengganggu susunan ayat dalam al-Quran dan sekaligus membatalkan solat secara sengaja atau tidak.
Ini kerana, mengganggu susunan dalam ayat al-Quran, ayat tersebut menjadi perkataan asing. Mereka yang membaca al-Quran secara terbalik susunan perkataan adalah golongan yang mempermainkan al-Quran.
Kesimpulan
Membaca al-Quran secara terbalik (reverse) kerana ingin mengukuhkan hafalan al-Quran mengandungi tiga kategori:
i. Kategori pertama menurut mazhab Syafi‘i, membaca surah secara urutan terbalik selepas bacaan surah al-Fatihah ketika solat adalah menyalahi perkara yang lebih afdal atau dikenali sebagai khilaf al-aula. Namun begitu, diberi kelonggaran untuk mereka yang belajar dan menghafal al-Quran untuk memudahkan pelajaran dan memantapkan hafazan mereka.
ii. Kategori kedua iaitu membaca surah bermula dengan ayat yang terakhir hingga ayat pertama secara asasnya adalah haram.
iii. Kategori ketiga dengan membaca al-Quran secara terbalik pada perkataan adalah ditegah dan dilarang sama sekali. Ini kerana ia menjadikan ayat tersebut sebagai perkataan yang asing, lalu mencemar kesucian isi kandungan al-Quran.