Saya mempunyai adik-beradik lelaki yang tinggal serumah untuk menumpang atas faktor kewangan. Sementara isteri saya suri rumah sepenuh masa. Persoalannya, bolehkah ipar-duai tinggal sebumbung, namun berlainan bilik ketika ketiadaan saya untuk keluar bekerja? Mohon pencerahan.
Jawapan: Status antara ipar-duai adalah haram muaqqat iaitu haram untuk dinikahi dalam tempoh waktu tertentu. Implikasinya, mereka perlulah memelihara batasan aurat dan adab pergaulan ketika berinteraksi antara satu sama lain bukan seperti mahram lain. Mereka turut tidak dibenarkan berkhalwat (berdua-duaan) apatah tidak lagi bersentuhan kulit. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda bersabda : Ipar adalah maut.” (Riwayat al-Bukhari 5232, Riwayat al-Muslim 2172)
Rasulullah SAW menyatakan makna ipar adalah maut (al-hamwu al-maut) dalam hadis tersebut ialah tentang kebimbangan fitnah yang bakal muncul dari ipar-duai lebih besar bahayanya daripada orang lain.
Tidak dinafikan kebarangkalian berlaku khalwat dengan ipar-duai walaupun hukum ipar berbeza dengan ajnabi, iaitu ipar merupakan mahram sementara yang haram dinikahi, manakala wanita ajnabi tidak haram untuk dinikahi.
Maksud ipar ialah kerabat suami selain bapa, datuk dan anak-anaknya. Adapun bapa dan anak-anak suami hukumnya sudah menjadi mahram untuk isterinya. Bahkan, mereka dibenarkan untuk berdua-duaan di tempat yang sunyi. Sementara adik-beradik lelaki suami, anak saudara, pak cik saudara sebelah suami dan seumpamanya tidak dikira sebagai mahram. Maksud al-Maut di dalam hadis ialah kebinasaan dan kemusnahan dalam kehidupan yang mana ipar-duai lebih utama dilarang dan dijauhi berkhalwat. Ini kerana, berdua-duaan dengan ipar duai membawa kepada fitnah dan kebinasaan di dalam agama.
Syariat Islam melarang perbuatan khalwat antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram melainkan si wanita ditemani oleh mahramnya, seperti abang, bapa atau datuk. Perkara ini ditekankan dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan mahram perempuan itu ada bersamanya.” (Riwayat Muslim, 1341)
Menurut Imam Ibn Battal, seseorang lelaki diharamkan khalwat dengan iparnya yang mana perbuatan ini mampu membawa ke arah kebinasaan melalui perasaan curiga orang lain dan membuka ruang fitnah yang terhasil daripada bisikan syaitan seperti zina dan sumpamanya.
Berbalik kepada soalan yang diajukan berkaitan keberadaan adik-beradik suami di rumah bersama isteri tersebut ketika suami keluar bekerja, maka perbuatan berdua-duaan antara ipar-duai yang berlainan jantina dalam serumah tanpa ditemani orang ketiga atau mahram adalah haram. Ini kerana, ia oleh menimbulkan syak dan fitnah seperti hadis yang dikemukakan dengan menyebutkan ipar sebagai al-maut.
Sehubungan itu, pihak suami perlu mengasingkan tempat tinggal saudara lelakinya daripada duduk serumah.