KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran memberi elaun kepada petugas sukarelawan yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membantu mangsa banjir.
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, petugas sukarelawan banjir yang bertugas di PPS turut bergadai masa dan nyawa mereka.
“Saya dimaklum tiada elaun kepada sukarelawan terdiri daripada orang awam ini. Mereka membantu mengurus ribuan mangsa, tetapi tidak ada elaun diberi.
“Mereka berkorban masa dan kadangkala keluarga sendiri tidak sempat urus kerana mengurus mangsa banjir,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat hari ini memaklumkan enam negeri terkesan dengan banjir ketika ini.
Menurut Perdana Menteri, negeri terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak dengan Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi
Kata Anwar, Nadma telah diarah untuk memperkemaskan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan negeri untuk memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir. – KOSMO! ONLINE