fbpx

Culik Omar Z.M. Albelbaisy: 14 individu dibenar ikat jamin RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian tertuduh ketika dibawa ke mahkamah pada prosiding lalu.

KUALA LUMPUR – Seramai 14 individu yang menculik lelaki warga Palestin Omar Z. M. Albelbaisy berjaya dalam permohonan mereka untuk mendapatkan jaminan berhubung pertuduhan yang didakwa ke atas mereka di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas meneliti dan mendengar hujahan 14 tertuduh itu selaku pemohon dengan setiap seorang masing-masing diikat jamin RM50,000.

“Kesalahan adalah serius, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin masing-masing RM50,000 dengan dua penjamin,” kata Muniandy.

Hakim Muniandy turut menetapkan syarat tambahan ikat jamin, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran kediaman mereka dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

“Setiap tertuduh diingatkan supaya tidak membuat sebarang komunikasi dengan saksi pendakwaan, sama ada sengaja atau tidak dan mana-mana individu lain yang mungkin ada kaitan atau tidak dengan kesalahan yang didakwa.

“Sebarang bentuk pelanggaran syarat jaminan yang dikenakan akan memberi hak kepada mahkamah ini untuk membatalkan jaminan itu sekaligus,” katanya

Mahkamah menetapkan 23 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes dan 7 hingga 11 Julai bagi perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan 14 tertuduh itu didakwa secara niat bersama menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pukul 10.40 malam, 28 September 2022 yang mana pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding terdahulu, peguam-peguam berhujah bahawa anak guam mereka wajar diberikan ikat jamin kerana dalam kes ini ia tidak melibatkan keganasan, kecederaan dan wang tebusan selain tiga daripada 14 tertuduh mengalami sakit darah tinggi dan kencing manis.

Sebelum ini peguam Norma Goh Kim Lian mewakili 10 tertuduh iaitu Mohamad Norakmal Hassan, 43, Dody Junaidi, 44, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41, Mohamad Naziree Mustapha, 41, Faizull Hardey Mohd Isa, 42, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27, Mohamad Sufian Saly, 25, Mohd Zaidi Mohd Zain, 56, Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51 dan Mohd. Azwan Jamaludin, 39,.

Sementara peguam, Muhammad Amin Abdullah mewakili Nidarahayu Zainal, 36, peguam Wan Muhd. Ariff Ameer Wan Normazlan bertindak bagi pihak Raibafie Amdan, 41, Adi Zulkarnain Zulkafli untuk Muhammad Al Hatim Mohd. Fauzi, 25, dan peguam Kelvinder Singh bagi Edy Ko’im Said, 42. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI