PETALING JAYA – Mangsa banjir di enam negeri meningkat kepada 35,261 orang, setakat pukul 8 pagi ini.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak.
“Kelantan merekodkan angka tertinggi iaitu 29,022 mangsa membabitkan 8,745 keluarga, dengan sebanyak 150 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sembilan daerah.
“Di Terengganu, 5,845 mangsa daripada 1,882 keluarga ditempatkan di 144 PPS di enam daerah,” katanya.
Bagi Kedah, sebanyak lima PPS dibuka yang menempatkan kira-kira 180 mangsa daripada 58 keluarga.
Selain itu, di Perlis mencatatkan 166 mangsa di tiga PPS sementara di Johor (28 mangsa) dan Perak (20 mangsa). – KOSMO! ONLINE