KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,240 kes penderaan kanak-kanak direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara dari Januari hingga Ogos lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia membabitkan tiga kategori iaitu penderaan fizikal, seksual dan emosi.
“Sebanyak 897 kes melibatkan penderaan fizikal, manakala 1,260 kes merangkumi penderaan seksual dan 83 kes penderaan emosi,” katanya pada menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai statistik kes seksual dan penderaan kanak-kanak di negara ini.
Nancy berkata, kes jenayah seksual kanak-kanak pula dibahagikan kepada 14 kategori termasuk rogol, rogol berkumpulan, sumbang mahram, cabul kehormatan dan berkelakuan aib.
Menurut beliau, kategori lain adalah menghendap, seks luar tabii, pornografi kanak-kanak, berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak, pengantunan kanak-kanak.
Tambah beliau, kategori seterusnya adalah berjumpa selepas pengantunan, amang seksual fizikal, amang seksual bukan fizikal dan kesemuanya merupakan kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Kata beliau, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes seksual membabitkan kanak-kanak bagi tahun dari Januari hingga April 2024 ialah 2,059 kes. – KOSMO! ONLINE