fbpx

2 bekas pekerja didakwa pindah lebih setengah juta ke akaun sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh Fariz Rosadio/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Dua bekas pekerja sebuah syarikat pengendali pengangkutan awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM500,000 empat tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Mohd. Hafiz Azizi, 39, dan Mohammad Shahrul Nizam Azman, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hafiz, yang merupakan bekas kerani syarikat itu didakwa atas sembilan pertuduhan memperoleh wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM565,359 menerusi akaun bank milik syarikatnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga buah bank di sini antara 17 Januari 2020 hingga 7 Julai 2023.

Sementara Mohammad Shahrul, yang merupakan bekas pegawai syarikat itu pula didakwa atas lapan pertuduhan memperoleh wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM580,916 menerusi akaun bank milik syarikatnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tiga buah bank di sini antara 8 Januari 2020 hingga 7 Julai 2023.

Mohammad Shahrul juga didakwa atas tujuh pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM233,270 daripada akaun bank milik dua buah syarikat ke akaun milik syarikat tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah bank antara 18 April 2021 hingga 8 Ogos 2023, mengikut seksyen dan hukuman sama.

Bagi Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan dibaca bersama perenggan 87(1) Akta 613 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin.

Mohd. Hafiz diwakili peguam Ahmad Ishrakh Saad manakala Mohammad Shahrul Nizam diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tarikh 10 Januari depan ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI