KAPIT – Seorang wanita selamat melahirkan anak keenam selepas dipindahkan dari rumahnya di Rumah Panjang (Rh) Engkeng di Sungai Amang, Jalan Selirik di sini yang dilnaiki air hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, wanita berusia 26 tahun itu melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Kapit pada pukul 7.30 pagi.
Wanita itu merupakan antara mangsa yang dipindahkan anggota bomba selepas menerima laporan kejadian banjir kira-kira pukul 5 pagi.
Anggota bomba menggunakan tali untuk menyeberang dari jambatan besi berhampiran ke rumah panjang tersebut yang dinaiki air setinggi tiga meter hampir mencecah lantai rumah.
“Kami memindahkan seorang lelaki dan dua wanita dengan salah seorang daripada mereka sedang sarat mengandung dengan menggunakan perahu penduduk.
“Pasukan bomba kemudian menghubungi Hospital Kapit namun disebabkan wanita itu sedang sarat dia dihantar ke hospital berkenaan menggunakan van orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.- KOSMO! ONLINE