PETALING JAYA – Pasangan suami isteri daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) pekak yang membuat kejutan istimewa bagi anak lelaki mereka yang normal menyentuh hati netizen.
Menerusi satu perkongsian di TikTok oleh Syira86, memaparkan kegembiraan si anak ketika menerima hadiah berupa mainan ‘Spiderman’ daripada ibu bapanya.
Walaupun pasangan itu tidak dapat mendengar jeritan gembira anak mereka, mereka dapat melihat kegembiraan tersebut melalui senyuman dan gelagatnya.
“Gembira betul dapat mainan ‘Spiderman’, walaupun mama dan papa tidak dapat dengar anak jerit, tapi mama papa boleh nampak anak gembira,” tulis ibu kanak-kanak itu dalam kapsyen video tersebut.
Rata-rata netizen turut meluahkan rasa sebak dan kagum dengan kasih sayang yang ditunjukkan pasangan itu terhadap anak mereka.
“Anak kecil yang sangat bertuah dapat mama papa sehebat ini. Menangis saya lihat video ini,” ujar Najwamu.
“Saya cuba perlahankan kelantangan, macam ini ke perasan ibu bapanya. Akak, anak akak gembira sangat-sangat. Suara dia kuat penuh rasa teruja bila dapat hadiah itu. Semoga yang baik sahaja untuk kalian,” tulis Allure.Alora.
“Kalau akak dan abang nak tahu, jeritan anak akak dan abang adalah jeritan seorang anak lelaki yang sangat gembira, yakin dan sememangnya akan membesar jadi lelaki yang sihat. Tahniah akak dan abang,” kata Irhuz8. -KOSMO! ONLINE
@syira86Papa belikan anak toy spiderman..happy betoi anak dpt toy spiderman..walaupon mama papa xdpt dgr anak jerit tapi mama papa boleh nmpk anak happy..🥰