SHAH ALAM – Tada halangan kepada pihak yang memfailkan saman mengenai vaksinasi Covid-19 namun keputusannya bergantung kepada proses perundangan di mahkamah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sesiapa saja boleh mengambil tindakan mahkamah termasuk kepada kerajaan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang.
“Ia adalah hak rakyat dan sesiapa sahaja boleh ambil tindakan (undang-undang) kerana kita sebuah negara yang mengamalkan rule of law.
“Mereka boleh membawa hal itu ke muka pengadilan tetapi keputusannya tetap akan ditentukan melalui proses undang-undang,” katanya pada sidang akhbar perasmian Persidangan Perubatan Tradisional dan Komplementari (Intracom) ke-10 di Institut Kesihatan Negara (NIH), Setia alam di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saman berjumlah RM60 juta difailkan lapan individu terhadap kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Mereka mendakwa vaksinasi Covid-19 menyebabkan kematian dan komplikasi kesihatan teruk di mana Dr. Dzulkefly antara 25 defendan yang dinamakan dalam saman tersebut.
Tambah Dzulkefly, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menunggu tindakan lanjut yang akan diambil kerajaan kelak.- KOSMO! ONLINE