SHAH ALAM – “Kamu tak layak pakai uniform polis”
Demikian tegas Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud sebelum menjatuhi hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini terhadap anggota polis, Azrol Khalil, 39, yang didapati bersalah dalam rasuah RM16,000 bagi menutup kes berkaitan dokumen palsu, dua tahun lalu.
Azrol yang berpangkat Koperal tersebut juga dikenakan denda RM80, 000 atau penjara setahun sekiranya gagal membayarnya. Selain itu, wang berjumlah RM16, 000 yang merupakan bahan bukti (wang perangkap) dipulangkan semula kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Awang Kerisnada dalam penghakimannya memaklumkan hukuman tersebut mengambil kira kepentingan awam dengan memastikan elemen rasuah dapat dihapuskan dan ada sifat amanah di kalangan penjawat awam.
“Tertuduh adalah anggota polis dan melakukan pecah amanah dalam tugasnya. Tertuduh telah mengugut mangsa (orang yang sedang disiasat) untuk membayar wang rasuah.
“Ini semua dilakukan sebab tertuduh mempunyai satu kedudukan sebagai anggota polis. Tertuduh sebenarnya tidak layak untuk mengenakan uniform polis,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman selepas dipohon Peguam P.G Cyril yang mewakili tertuduh.
“Namun, ikat jamin dinaikkan kepada RM10, 000 daripada RM8, 000 sebelum ini dengan bayaran dibenarkan dibuat esok.
“Notis rayuan penangguhan perlu difailkan esok,” jelasnya.
Mengikut pertuduhan, Azrol yang ketika itu bertugas sebagai detektif di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menerima suapan bernilai RM16,000 daripada seorang lelaki berusia 52 tahun bagi menutup kesnya yang sedang disiasat bahagian berkenaan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Taman Prima Sri Gombak pada 7 Februari 2022.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh di hukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE