PUTRAJAYA- Satu kes baharu jangkitan Mpox clade II dilaporkan pada 25 November lalu, sekali gus menjadikan jumlah kes penyakit itu di Malaysia bagi tahun 2024 meningkat kepada dua kes.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata, menerusi pertambahan itu, ia turut menjadikan kumulatif sebanyak 11 kes mpox dilaporkan sejak 26 Julai 2023.
“Kes baharu itu melibatkan lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari selain terlibat dalam aktiviti berisiko.
“Kes mula menunjukkan gejala ruam pada tangan, badan dan kaki sejak 15 November dan beliau telah mendapatkan rawatan pada 23 November lalu,” katanya hari ini.
KKM berkata, pesakit kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani isolasi serta menerima rawatan simptomatik.
“Semua kontak rapat sedang dikenal pasti dan dipantau untuk tanda serta gejala Mpox selama 21 hari dari tarikh terakhir pendedahan,” katanya.
Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus Mpox, iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus.
Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan Mpox.
Jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.
Gejala Mpox ialah demam berserta ruam maculopapular rash atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.
Tempoh pengeraman (incubation period) iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima hingga ke 21 hari.
Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE