SINGAPURA – Terdesak untuk mendapatkan kembali iPhone yang hilang, seorang pemilik telefon pintar mahu menyihir orang yang mencurinya, lapor laman berita Stomp semalam.
Seorang pengguna Facebook menerusi kumpulan sembang Complaint Singapore menyiarkan gambar yang menunjukkan apa yang kelihatan seperti sekeping kertas ditampal pada lobi lif di Singapura kelmarin.
Individu yang meletakkan kertas itu dikatakan kehilangan iPhone berwarna ungu dengan sarung merah jambu.
Atas sebab yang tidak didedahkan, pemilik telefon itu yakin bahawa seseorang telah mengambil peranti tersebut.
Dia meminta pencuri tersebut sama ada menghubungi nombor yang tertera pada skrin iPhone itu atau mengembalikannya ke balai polis.
Pemilik itu turut berjanji untuk memberi ganjaran kepada individu yang berbuat demikian.
Namun, jika individu itu memilih untuk tidak memulangkan iPhone tersebut, pemiliknya mengancam untuk menyihir pencuri tersebut buat seumur hidup. – AGENSI