fbpx

Najib, Mohd. Irwan lepas tanpa bebas pecah amanah RM6.6 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Irwan dan Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dilepas tanpa dibebaskan enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan notis usul yang dikemukakan kedua-dua tertuduh.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Muhammad Jamil berkata berdasarkan fakta dan hal keadaan kes, mahkamah menggunakan kuasa sedia ada, untuk tertuduh pertama (Najib) dan tertuduh kedua (Mohd. Irwan) dilepaskan tanpa dibebaskan daripada keenam-enam pertuduhan tersebut.

“Alasan kedua-dua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan iaitu yang yang pertama, pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya Kanun Tatacara Jenayah. Kedua, perintah DNAA tidak memprejudiskan kes pendakwaan. Pendakwaan boleh menuduh kedua-dua tertuduh semula.

“Ketiga, kes ini didaftarkan pada tahun 2018 namun perbicaraan tidak dapat diteruskan walaupun tarikh perbicaraan telah ditetapkan beberapa kali kerana pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya peruntukan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Wang jamin dikembalikan kepada penjamin,” kata Hakim itu.

Perbicaraan yang sepatutnya bermula pada September 2021 telah tertangguh beberapa kali antaranya bagi memberi laluan kepada dua kes iaitu kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Kali terakhir perbicaraan ditangguhkan ada pada Jun lalu yang mana ia disebabkan beberapa dokumen penting yang dirujuk oleh saksi-saksi masih belum diserahkan oleh pendakwaan kepada pembelaan.

Pada 24 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada IPIC.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI