PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memandang serius ketiadaan dialog menyeluruh dengan badan profesional seperti Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU) berhubung penambahan waktu kerja bidang itu daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu, berkuat kuasa 1 Disember ini.
Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata, langkah sedemikian melemahkan pendekatan kolaboratif diperlukan untuk merangka dasar yang adil dan sesuai dengan realiti lapangan.
Penambahan waktu kerja tanpa menangani cabaran sedia ada katanya, berpotensi meningkatkan tekanan kerja, keletihan, dan mengurangkan kepuasan kerja jururawat.
“Kebajikan mental jururawat yang terganggu akibat beban kerja melampau, boleh memberi kesan negatif kepada kualiti perawatan kepada pesakit.
“Jika jururawat mengalami tekanan mental atau keletihan, ia boleh meningkatkan risiko kesilapan dalam penjagaan pesakit, sekali gus menjejaskan keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad akan meneliti dan menimbang cadangan daripada lima persatuan jururawat berhubung tempoh bekerja 45 jam seminggu di Bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berbanding 42 jam sebelum ini.
Katanya, beliau mengikuti segala input diberikan pihak terlibat termasuk daripada lima persatuan jururawat selain mahu mengetahui libat urus dijalankan mereka.
Mengulas lanjut Mohd Effendy menegaskan, waktu kerja lebih panjang mungkin mendorong jururawat mencari peluang pekerjaan dengan syarat kerja yang lebih baik di tempat lain, langsung memburukkan lagi kekurangan kakitangan dalam sektor kesihatan.
Oleh kerana itu katanya, MUTC menyeru supaya kerajaan segera mengadakan perbincangan dengan MNU dan pihak berkepentingan lain bagi menilai semula keputusan berkenaan.
“Penglibatan ini penting untuk merangka penyelesaian yang mengimbangi keperluan operasi dengan kebajikan pekerja kesihatan.
“MTUC juga mencadangkan agar kerajaan melaksanakan kajian komprehensif terhadap keadaan kerja jururawat, termasuk beban tugas, ganjaran, dan sistem sokongan bagi memastikan tenaga yang mampan, bermotivasi, serta mempunyai kesejahteraan mental,” ujarnya.
Turut ditekankan katanya, kepentingan melibatkan kesatuan dan badan profesional dalam perumusan dasar untuk memastikan strategi kesihatan yang inklusif dan berkesan.
“MTUC berdiri teguh bersama MNU dan komuniti jururawat, mendesak agar kebajikan mereka diberi keutamaan dalam setiap keputusan yang diambil.
“Jururawat adalah tulang belakang kepada sistem penjagaan kesihatan negara, dan kebajikan mereka tidak boleh dikompromi demi memastikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE