KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan melonjak kepada 12,145 orang dengan sebanyak 96 buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sembilan daerah.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, setakat pukul 4 petang ini, hanya daerah Gua Musang yang masih belum mempunyai mangsa banjir yang berlindung di PPS.
Menurutnya, semua mangsa yang terlibat terdiri daripada 3,617 keluarga.
“Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai dengan 3,233 orang, diikuti Pasir Puteh (1,737), Kota Bharu (1,573), Kuala Krai (1,507), Tanah Merah (1,001) Tumpat (973), Bachok (776), Machang (683) dan Jeli (663),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd. Yusoff Mamat ketika dihubungi berkata, situasi banjir di negeri ini masih terkawal.
Katanya, penduduk yang tinggal di kawasan rendah perlu sentiasa peka dengan situasi semasa dan segera berpindah tanpa perlu menunggu arahan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE