KUALA LUMPUR – Sebuah kren menara di kawasan pembinaan bangunan di Kampung Air Tawar, Setapak di sini, tumbang ekoran cuaca buruk hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.19 petang.
Komander Operasi Rozaidi Mat Isa berkata, seramai lima pegawai dan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah kren terjunam dan jatuh di kawasan pembinaan ekoran ribut kuat.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa dan kenderaan lain yang terbabit kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan kemudian menyerahkan kes kepada pihak pengurusan pembinaan untuk tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE.